Saya pernah menerima satu panggilan sekitar pukul 2 pagi dari seorang ibu yang sarat mengandung anak kedua yang berulang kali merasai mahu bunuh diri atas sebab putus harapan dengan hidup. Sepanjang panggilan kira-kira sejam lebih itu, saya lebih banyak mendengar dan sekali sekala mencelah dengan cuba menenangkannya dengan kata-kata perangsang (cuba berempati). Jujurnya saya sendiri tidak tahu respon bagaimana sebaiknya. Apa yang harus dikatakan dan simpati mahu membantu tapi saya sedar sudah di luar bidang saya dan ibu itu harus mendapatkan rawatan pakar jika sudah sehingga rasa ‘suicidal’. Penyudahnya saya berikan nombor telefon Befrienders (603-79568145 / www.befrienders.org.my) dan mencadangkan ibu ini untuk ke klinik dengan kadar segera untuk rawatan. Berceritanya semula pun sekarang, saya menggigil mengingatkannya semula. Saya cuma mampu berdoa dari jauh agar ibu ini selamat. Saya terkesan dengan kejadian ini.”
.
“Puan sudah buat yang terbaik, semampu yang puan boleh. Doa dari puan, mendengar luahan tanpa memberi komen dan usulkan rawatan itu yang sebaiknya,” kata Dr Zul Azlin Razali, penulis buku Depresi.
.
Saya turut menyarankan agar buku seterusnya harus Dr Zul pertimbangkan ialah isu meroyan. Dr Zul menerangkan atas sebab ketidakseimbangan hormon dan perubahan dengan tanggung jawab sesudah bergelar ibu atau pertambahan bilangan zuriat, adalah normal untuk seseorang ibu melalui fasa yang dipanggil ‘post-partum blues’. Antara simptomnya, penat, emosi mudah terusik, rasa ‘lost’ dan sewajarnya sokongan daripada ahli keluarga boleh membantu si ibu untuk menanganinya dengan peralihan ini. Tapi, jika ia berpanjangan, sehingga ada ‘tendency’ untuk mencederakan diri atau orang lain, mendengar suara-suara, tidak boleh menguruskan diri dan banyak lagi simptom lain, inilah yang biasanya orang kita sebut sebagai meroyan atau istilah medikalnya ‘post-partum psikosis’
.
Seterusnya, hadirin yang hadir juga berdiskusi tentang histeria. Dr Zul menerangkan asal-usul perkataan histeria dan logiknya bagaimana histeria boleh berjangkit di kalangan pelajar perempuan yang biasa berlaku di asrama. (Ini tiada dalam buku ‘Depresi’. Bonus untuk yang hadir sesi )
.
Menariknya apabila Dr Zul kaitkan generasi milineal yang lebih bersifat individualistik dan tidak mustahil sehingga menjurus kepada sifat narsisistik. Apabila ada rasa 'Hak aku.' atau 'Aku, aku, aku' dijadikan satu perkara yang penting dalam hidup, tinggi peratusannya jatuh murung apabila kehendak tidak dipenuhi. Inilah yang sedang menular pada golongan belia (milenial) dan statistik membuktikan kes depresi hingga kes bunuh diri banyak melanda golongan ini.
.
Antara cara menangani stres yang diusulkan ialah menjadikan ‘Menulis sebagai satu terapi’. Tapi di medium apakah yang lebih sesuai dan apakah jenis karya yang ditulis? Ia terbahagi kepada penulisan ekspresif yang rata-ratanya umum memilih media sosial untuk meluahkan emosi yang pelbagai sebagai pelepas ketidakpuashatian. Bahananya ialah risiko yang kita ambil kerana kita tak boleh kawal siapa audien kita. Jika penulisan berbentuk kreatif pula seperti seorang pelukis agung, tafsirannya bergantung pada setiap orang tapi realitinya hanya penulis itu yang tahu. Itulah terapi padanya.
.
Dr Zul berpesan cara kita menangani stres itulah yang seharusnya kita tahu bagaimana dan fitrahnya manusia sifatnya berhubung dengan manusia. Jika perlu, bercerita masalah dengan seseorang yang kita percaya atau perawat adalah lebih baik. Bukan dengan cara sehingga rasa mahu mencederakan diri sendiri atau orang lain atas kecelaruan emosi dalaman yang sedang dihadapi. Jika stres tidak ditangani dengan positif, ia boleh menjurus kepada depresi.
.
Saya petik sedikit dan ringkaskan sebahagian ayat daripada halaman 23-24 buku ‘Depresi’:
“Depresi atau rasminya kemurungan major (major depressive disorder) adalah sejenis penyakit. Jauh bezanya dengan kesedihan biasa. Ia dikatakan major bia sedihnya terlalu panjang, hibanya terlalu dalam, kegembiraan hilang dan keseronokan tidak dicapai. Tidur terganggu dan pesakit menjauhi lingkungan sosial. Mungkin menyisihkan diri atau termaginal sendiri tanpa disedari. Orang sekeliling bukan tidak mahu peduli, bukan tidak simpati, cuma mereka tidak memahami. Juga wujud simptom lain seperti tidak mahu makan, turun berat badan, lambat dalam berfikir dan bergerak, rasa tidak berguna, kerap rasa bersalah, hilang rasa berharap dan mudah keletihan. Paling mustahak, penyakit murung itu menggugat kefungsian insan dalam menguruskan hariannya, menjungkir balik rutin tanggung jawabnya dalam keluarga dan mengancam peranan produktifnya dalam masyarakat.”
.
Menariknya buku ini juga mendedahkan tanggapan masyarakat yang mengaitkan penyakit mental dengan gangguan jin (makhluk halus) termasuk rawatan dari sudut ini.
.
Saya amat menyarankan kalian dapatkan buku ini dan bacalah dengan hati yang terbuka.
Kita ambil sudut pandangan daripada seorang doktor psikitiari pula. Para ilmuan agamawan pun mulai berkerjasama dengan pakar medikal untuk membantu mereka yang mengalami penyakit mental. Seperti persatuan MIASA (https://miasa.org.my/)
.
Kita ‘break the stigma’, berhenti melabel pesakit dengan perkataan ‘gila’ atau cenderung mengaitkan semuanya dengan gangguan makhluk halus. Sebaiknya, kita bantu mereka untuk bersegera mendapatkan diagnosis terlebih dahulu dan disusulkan dengan rawatan yang sesuai. Spiritual dan medikal sama pentingnya.
Comments
Post a Comment